Sunday, June 28, 2015

Filled Under:

'KAMI SUDAH BIASA DIMAKI'


KUALA LUMPUR - Sebut saja DBKL, ramai yang akan mencebik bibir kerana telah diajar dengan persepsi yang negatif terhadap agensi itu.

Orang ramai yang melihat pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunda kereta yang diletakkan di zon larangan pasti menganggap tindakan itu kejam kerana tidak menunggu pemilik kereta yang mungkin berurusan di kawasan yang berdekatan.

Biarpun ditohmah dengan pelbagai kata-kata caci maki, mereka tetap menjalankan tanggungjawab bagi memastikan kelancaran trafik untuk pengguna jalan raya yang lain.

Dipetik dari portal Malaysia Gazette, seorang kakitangan DBKL meluahkan rasanya yang kecewa dengan tindakan orang awam yang selalu memandang serong terhadap mereka.

"Kita tidak boleh fikir apa perasaan orang sebab orang juga tidak fikir pun apa kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Kalau kita lambat bertindak, lebih ramai lagi orang yang akan melakukan kesalahan yang sama di sepanjang jalan di zon larangan meletakkan kenderaan.

Kami sudah biasa dimaki hamun oleh pemilik kenderaan tetapi kami terpaksa memekakkan telinga sebab apa yang kami buat adalah tanggungjawab yang diamanahkan. 

"Kalau tak nak kereta kena tarik, patuhilah arahan papan tanda. Kalau dah salah itu, mengaku saja dan mungkin kami boleh bantu dari segi lain pada masa akan datang," katanya.

Jelas pegawai DBKL berkenaan, kebiasaannya pemilik menyangka kereta mereka hilang dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lantas mereka membuat laporan polis di balai berdekatan.

"Apabila pemilik membuat laporan, polis akan mengarahkan pemilik kereta menghubungi Pusat Tunda Kenderaan DBKL. Jika disahkan kereta milik mereka ada di sana, pemilik boleh terus datang membuat tuntutan. Tetapi jika tiada, barulah menjadi urusan polis," katanya. -




0 comments:

Post a Comment