BRASILIA – Sepasang kekasih melakukan aksi lagak ngeri dengan berpaut dan bergayut pada sebuah tebing batu pada ketinggian 843 meter tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan.
Leonardo Edson Pereira, 23, dan kekasihnya, Victoria Medeiros Nader, 18, melakukan aksi berani mati tersebut di kawasan pergunungan Pedra de Gavea, dekat bandar raya Rio de Janeiro.
Satu gambar itu memaparkan Nader yang memakai bikini berwarna merah jambu tergantung pada tebing itu sambil memaut tangan kekasihnya.
Dalam foto lain, Pereira pula dilihat berpaut pada tebing batu itu tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan dengan panorama indah sekitar Rio de Janeiro menjadi latar belakangnya.
“Saya tahu orang ramai menganggap tindakan ini bukan sahaja tidak munasabah tetapi membahayakan diri sendiri. Namun, lagak ngeri itu membuatkan saya berasa teruja.
“Tebing batu itu sememangnya tinggi namun, saya hanya menggunakan kekuatan tangan untuk berpaut. Apa yang penting, saya percaya kepada diri sendiri bahawa saya tidak akan terjatuh ke bawah,” kata Pereira.
Ini bukan kali pertama Pereira melakukan aksi merbahaya itu memandangkan dia pernah memanjat beberapa tebing tinggi lain di sekitar Rio de Janeiro.
0 comments:
Post a Comment