Tuesday, June 30, 2015

Filled Under:

Buang bayi sebelum solat terawih

GEORGETOWN - Bayi perempuan yang masih bertali pusat dan berbalut tuala ditemui di tepi tangga Masjid Sungai Gelugor, di sini hari ini.

Bayi itu ditemui oleh orang ramai yang baru selesai menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan kira-kira 8 malam.

Gambar bayi ditemui tepi tangga Masjid Sungai Gelugor

Seorang saksi, Mohammad Hafiz Mohammad Zaidi, 26, berkata, jemaah lelaki dimaklumkan mengenai bayi itu oleh seorang jemaah wanita yang terdengar bunyi tangisan bayi.

"Selepas solat Maghrib, saya ke tandas dan seorang makcik bertanya kepada saya ada jemaah perempuan solat di bahagian lelaki ke, kerana dengar bunyi tangisan bayi di tangga masjid.

"Sebaik dimaklumkan, kami terus ke bahagian tangga dan mendapati bayi perempuan sedang menangis. Saya terus beritahu imam dan jemaah lain," katanya.

Mohammad Hafiz berkata, seorang daripada jemaah terus mengambil bayi itu dan melihat ada lampin pakai buang serta beberapa helai baju bayi dalam sebuah beg berhampirannya.

"Ada jemaah lelaki yang nampak seorang wanita menghampiri tangga masjid sebelum tergesa-gesa keluar, tapi dia tidak sangka wanita itu meninggalkan bayi berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Kominsioner Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, bayi itu dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan masjid itu untuk siasatan lanjut.

"Saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama




0 comments:

Post a Comment