Friday, June 19, 2015

Filled Under:

Pengembaraan Minions buat penonton pecah perut




BAGI yang pernah menonton Despicable Me (2010) dan Despicable Me 2 (2013), pasti tidak asing lagi dengan karakter makhluk berwarna kuning yang dipanggil Minions.

Sering menyebut ‘Ba-ba-ba-na-na-na’, Minions tersebut dimiliki Gru.

Menariknya, walaupun tidak pandai berkata-kata, namun ada sahaja keletah mereka yang menarik perhatian penonton.

Justeru, tidak hairanlah apabila Illumination Entertainment menerusi Universal Pictures berani untuk menerbitkan filem Minions yang membawa penonton mengikuti kisah Minions menerusi tiga karakter utama Minions iaitu Kevin, Stuart dan Bob.

Filem yang diarahkan oleh Kyle Balda dan Pierre Coffin ini, menampilkan Sandra Bullock, Jon Hamm, Pierre Coffin dan Chris Renaud sebagai pelakon alih suara.

Minions mengisahkan tentang sekumpulan Minions yang terdiri daripada tiga watak utamanya, Kevin, Stuart dan Bob, yang mempunyai misi untuk bekerja dengan penjenayah paling jahat di dunia.

Selepas mereka dengan secara tidak sengaja memusnahkan tuan mereka termasuk T-Rex dan Dracula, mereka ingin memulakan hidup baru di Antartika.

Justeru, Kevin, Stuart dan Bob nekad untuk mencari tuan besar baru dalam usaha memastikan kelangsungan hidup Minions yang lain untuk terus relevan di atas muka bumi ini.

Ketiga-tiga mereka memulakan perjalanan penuh cabaran dari Antartika ke bandar New York era 60-an dan berakhir di kota London yang membawa mereka tiba di konvensyen penjahat, mereka telah bersaing dengan penjahat lain untuk bekerja dengan Scarlet Overkill, seorang penjahat terkenal yang mempunyai impian untuk menguasai dunia.

Seperti biasa, dengan aksi comel, bertenaga dan tindakan di luar jangkaan, perjalanan filem ini selama satu jam setengah akan membuatkan penonton tidak akan kering gusi ketawa dengan keletah mereka.
Pendek kata, filem ini bukan hanya sesuai ditonton golongan kanak-kanak, bahkan oleh golongan dewasa. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang inginkan sebuah filem santai untuk ditonton sesi keluarga pada hujung minggu.

Apatah lagi, dengan suntikan warna animasi yang menarik, akan menambah lagi rasa keterujaan anda untuk menonton filem ini dari awal hingga akhir.

Namun ingin penulis ingatkan bahawa filem ini tidak ada kena mengena dengan perjalanan francais Despicable Me, termasuk trilogi ketiga mereka yang akan ditayangkan pada 2017 nanti.

Lakonan mantap

Bukan sahaja jalan cerita yang menghiburkan, penglibatan pelakon hebat seperti Sandra Bullock dan pelakon-pelakon lain yang meminjamkan suara mereka untuk karakter di dalam Minions menjadikan ia lebih menarik.

Biarpun hanya sekadar suara, namun mereka tetap memberikan komitmen yang cukup tinggi sehingga kita seolah-olah menonton filem komersial.

Lebih-lebih lagi Bullock yang berjaya membuatkan penonton berasa menyampah dan geram dengan impiannya yang ingin menakluki dunia.

Justeru, mampukah Kevin, Stuart dan Bob menjalankan tugas dengan baik sekali gus menyelamatkan kawanan Minions yang lain?

Jangan lupa saksikan filem Minions di pawagam berdekatan anda.




0 comments:

Post a Comment