Wednesday, October 14, 2015

Filled Under:

TAK JUMPA JALAN PULANG KERANA DISOROK ORANG TENROG?


KOTA BHARU – Bapa saudara kepada salah seorang kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi yang selamat, Missudiar Aluj, 11, menafikan anak saudaranya takut pulang ke rumah selepas mandi di sungai sebaliknya tidak jumpa jalan pulang menyebabkan dia bersama enam lagi rakan hilang sejak 23 Ogos lalu.

Suren Seman, 29, berkata, ia berdasarkan apa yang diceritakan oleh Missudiar kepadanya selepas pulih daripada trauma bertarung nyawa lebih sebulan di dalam hutan bersama seorang lagi rakannya yang selamat, Noreen Yaacob, 10.

“Dia (Missudiar) ada cakap dia tidak takut kena marah sebab mandi di sungai tetapi tidak jumpa laluan untuk kembali ke jalan besar untuk pulang ke asrama malah, dia turut mendengar bunyi helikopter (ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan).

“Mereka juga tidak berganjak ke mana-mana sebaliknya hanya duduk di bawah akar pokok di tepi Sungai Perias. Memang agak pelik juga sebab ia merupakan kawasan utama pencarian malah kami juga tidak dengar suara mereka,” katanya kepada media ketika ditemui di Wad 5 Pedriatik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), semalam.

Terdahulu Missudiar dan Noreen yang ditemani ibu masing-masing menerima kunjungan daripada Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama Tengku Puan Temenggong, Datuk Tunku Noor Hayati Tengku Abdul Rahman.

Sementara itu, ibu Missudiar, Rosita Bahir berkata, anaknya kini sudah menunjukkan perkembangan yang baik selepas empat hari berada di HRPZII di bawah pengawasan doktor pakar.

“Dia dah boleh jalan dan makan dengan baik, dia lebih ceria sebab dapat banyak hadiah daripada pelawat, dia ada cakap mahu pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Missudiar mendakwa ada mendengar bunyi helikopter tentera dan pernah menjerit kepada anggota pasukan penyelamat di kawasan berhampiran mereka.

Namun peliknya, jeritannya itu tidak didengari pasukan penyelamat walaupun jarak antara mereka dengan kumpulan tujuh kanak-kanak hilang itu tidak jauh.

Pengakuan itu diceritakan Akek Bahir, 46, bapa saudara Missudiar ketika ditemui di HRPZII, semalam.

Katanya, Mussudiar dapat mendengar bunyi helikopter yang melintasi mereka yang ketika itu dianggarkan berada kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi di Pos Tohoi pada hari ke-12 kanak-kanak itu hilang.

“Malah, ketika pasukan mencari melakukan pencarian di kawasan tersebut, kanak-kanak itu menyedari kehadiran anggota terdiri daripada beberapa agensi itu.

“Namun jeritan kanak-kanak ini tidak didengari walau bunyi pasukan penyelamat itu agak dekat dengan mereka. Jika sebaliknya saya percaya nasib lima lagi rakan Missudiar yang maut akan berbeza selain dapat diselamatkan,” katanya.

Akek yang juga Penghulu Kampung Gawen itu percaya pasukan penyelamat gagal mendengar jeritan meminta bantuan kanak-kanak itu berikutan mereka sedang ‘dijaga’ oleh Tenrog (orang bunian).

"Saya sendiri ada melakukan pencarian di kawasan mereka ditemui ini selepas empat hari mereka hilang.

“Malah, ada malam yang saya bermalam di dalam hutan tetapi tiada sebarang jejak ditemui atau kelihatan. Kejadian ini memang membingungkan,” katanya.




0 comments:

Post a Comment