Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa, Afif Asyraf Yahya, 28, bersama sepupunya, Amiruddin Nawi, 29, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.

Afif Asyraf seorang guru tahfiz maut di tempat kejadian manakala Amiruddin pula mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai,Afif meninggalkan isteri nya  Nik Nurfahimah Nik Mahmud, 26 yang sarat mengandung.








Afif Asyraf merupakan peminat setia The Red Warriors dan kali pertama dia ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan akhir melibatkan pasukan kesayangannya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azlan Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, kereta yang dipandu mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori berkenaan.
Katanya, akibat daripada pelanggaran itu, lori terbabit nyaris terhumban ke dalam gaung di se­belah kiri jalan, bagaimanapun pemandunya, Salmizi Ab. Kader, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas itu, sebuah lagi kenderaan Perodua Alza yang berada di belakang kereta mangsa juga gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

“Pemandu ke­reta itu, Nor Azizi Jaaffar, 44, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kece­deraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Kubang Kacang dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Al-fatihah - Utusan Online