Anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd Nazifuddin Najib menyatakan sokongan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pengguna di negara ini.
“Saya sokong vaping jika ia dilakukan dengan adab” - Anak Najib |
Berikutan itu, Nazifuddin menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap pengharaman vape di negara ini.
“Saya sokong vaping jika ia dilakukan dengan adab dan tatacara yang betul. Ramai juga kenalan saya yang vape, malah ada yang telah berhenti merokok.
“Saya berharap agar industri ini terus berkembang di Malaysia. Saya tidak setuju dengan pengharaman vaping. Kita hanya perlu vape dengan bertanggungjawab dan beretika,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, kelmarin.
Kata Nazifuddin, vape merupakan alternatif kepada rokok yang boleh meminimumkan tabiat merokok dalam kalangan perokok.
Menurutnya, industri tersebut perlu diiktiraf berikutan kebanyakkan produk termasuk perasa vape dihasilkan oleh usahawan muda tempatan.
“Kini kita dapat lihat sambutan yang hangat ‘vape’ dan trend ‘vaping’. Saya merasakan ia masih kekal sebagai alternatif merokok dan kita seharusnya mengiktiraf inovasi dan kreativiti yang telah timbul dari industri ini.
“Yang hebatnya, kebanyakan produk terbaik seperti perisa jus vape datang dari usahawan muda tempatan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud kesan negatif dimana vape boleh mengakibatkan ketagihan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa ketagihan vape adalah sesuatu yang tidak baik. Tambahan pula dengan masyarakat kita yang lebih cenderung untuk mengecam semua yang terlibat dalam industri ini (terutamanya para belia) hanya kerana satu kes yang unik dan ekstrem,” ujarnya.
Jumaat lepas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan Kabinet telah memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape.
Bagaimanapun, selang beberapa hari kemudian, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) tampil mencadangkan supaya kerajaan mengenakan cukai ke atas perasa rokok elektronik atau vape agar dapat menjana pendapatan negara.
Terbaharu pula, Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menjalankan operasi merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.
Menurut Datuk Seri Dr S. Subramaniam, KKM mempunyai kuasa untuk merampas sebarang produk yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.- mD
0 comments:
Post a Comment