Thursday, March 5, 2015

Filled Under:

Video: Rakyat Malaysia Bergambar Dengan Mangsa Sembelih Tahanan ISIS

Kuala Lumpur – Dua rakyat Malaysia yang kini menyertai kumpulan militan IS dikesan berada di tempat di mana seorang tahanan dipenggal di Raqqa, Syria.

Perkara itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner, Datuk Ayub Khan Mydin, pada sidang media di sini, hari ini.

Pengesahan itu berdasarkan rakaman video berdurasi 30 saat yang dimuat naik seorang individu yang disyaki menganggotai kumpulan militan itu menerusi akaun Facebooknya pada 20 Februari lalu.

Melalui rakaman video tersebut, seorang lelaki (warga tempatan) kelihatan di samping mayat seorang lelaki warga Syria yang disembelih seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip kerajaan Syria.

Lelaki yang dikatakan dari Durian Tunggal itu dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Islamic State (IS), tidak bergaul dengan penduduk setempat di kawasan nya.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Andy berusia 40-an berkata lelaki terbabit yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik ini juga dipercayai seorang penagih dadah dan gemar bersosial.

“Seorang penduduk di sini pernah juga menasihati dia (lelaki itu) kerana perbuatannya itu (dengan) membawa balik perempuan ke rumah, menagih dadah dan mengganggu penduduk namun teguran itu tidak diendahkan.

“Malah tidak beberapa lama selepas itu penduduk berkenaan diserang abang lelaki itu menjadikan penduduk kawasan ini takut menegurnya lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lelaki itu dan seorang lagi lelaki rakyat Malaysia yang berasal dari Gurun, Kedah dipercayai terlibat dalam rakaman video terbabit.

Andy yang telah tujuh tahun tinggal di kawasan itu berkata bapa lelaki itu telah lama meninggal dunia manakala ibunya yang bekerja sebagai seorang tukang cuci, meninggal dunia empat tahun lepas akibat penyakit leukemia.

“Sebelum ibu bapa mereka meninggal, empat beradik itu tinggal serumah di sini selama enam tahun tetapi bila (ibu bapa) sudah tiada, nampak lelaki itu tinggal sendirian di rumah itu tetapi saya tidak tahu dia pergi ke Syria atau negara lain.

“Bulan lepas ada beberapa orang anggota polis datang dan geledah rumah (lelaki) itu kemudian bawa keluar beberapa barang tetapi saya tidak tahu untuk apa,” katanya.



Beliau mengakui terkejut apabila mengetahui bahawa lelaki itu dipercayai terlibat dengan kumpulan militan IS seperti dilaporkan media.-suaratv




0 comments:

Post a Comment