Saturday, August 30, 2014

Filled Under:

MESTI BACA!! Sayu Sekali...Kisah Benar Suami Yang Sanggup Jadi Suri Rumah Dan "Makan Gaji Isteri" Ini Mendapat Share 9381 Di Facebook


$%Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Fazil (bukan nama sebenar) dengan pembaca minggu ini. Satu kisah menarik yang berlainan daripada sebelum ini, kisah suami yang berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sehingga menjadi kemarahan keluarganya.

Begini kisah Fazil…

“Saya berusia awal 30-an, berkahwin dengan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta yang sangat sibuk dan berjawatan tinggi. Namanya, Shira (bukan nama sebenar). Kami dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki berusia antara dua hingga lapan tahun.

“Sebelum bernikah dengan Shira, saya bekerja di sebuah syarikat penerbitan selama 10 tahun dengan gaji yang tidak seberapa dan cukup-cukup makan.

“Alhamdulillah, saya ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang ada kedudukan, berpelajaran dan berjawatan tinggi.

“Perkahwinan kami merubah keadaan. Saya tidak lagi susah seperti dahulu.

“Makan minum dan perbelanjaan saya mencukupi setelah hidup bersama Shira. Dia menjaga saya dengan baik dan memberi perhatian 100 peratus terhadap saya. Sikapnya itu menjadikan saya semakin sayang kepadanya.

“Apabila Shira mengandungkan anak sulung kami, dia meminta saya berhenti kerja dan menjaga rumah tangga kami. Dia memberi saya gaji lebih daripada apa yang saya peroleh di tempat kerja saya.

“Demi rumah tangga dan anak yang bakal lahir, saya setuju dan yakin keputusan saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah paling tepat. Lagipun gaji saya tidak seberapa berbanding dengan gaji Shira.

“Saya yakin dengan ganjaran yang dia janji akan berikan kepada saya sudah cukup untuk saya berbelanja. Saya juga yakin yang kami akan bahagia dengan cara kami.

“Perancangan kami berjalan lancar. Shira mengotakan janjinya walaupun saya terpaksa buat semua kerja dalam rumah, memasak dan menjaga anak dan ke pasar membeli keperluan dapur.

“Saya bangun awal setiap hari untuk menyediakan sarapan Shira. Setelah dia ke pejabat, saya meneruskan tugas saya di rumah seperti isteri-isteri lain. Bezanya saya seorang suami. Tapi saya gembira dengan kehidupan ini.

“Shira tidak pernah membebankan saya dengan kerja rumah. Jika dia tidak bekerja dan tidak ada urusan di luar, pasti dia akan membantu saya di dapur, melakukan apa yang patut sambil melayan anak-anak kami.

“Dia seorang isteri yang sangat memahami walaupun di pejabat, dia ada ramai kakitangan. Di rumah, dia tetap menghormati saya sebagai suami. Tidak pernah dia menjerit atau memarahi saya. Sikapnya itu menyebabkan saya semakin sayang dan reda dengan jodoh kami.

“Di sebalik kebahagiaan yang saya nikmati bersama Shira, saya dipulau keluarga yang menyifatkan saya menjadi hamba isteri. Ibu bapa dan keluarga saya sangat marah apabila mendapat tahu saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga.

“Malah ibu saya kecewa dengan tindakan saya walaupun saya tidak pernah lupa mengirim wang kepadanya setiap bulan seperti mana sebelum ini. Wang yang saya hantar itu adalah duit gaji yang saya terima daripada Shira setiap bulan.

“Kata ibu, saya tidak ada maruah kerana membiarkan isteri mengatur hidup saya. Malah ibu tidak pernah datang ke rumah saya sejak saya berhenti kerja. Dia tidak sanggup melihat saya membuat semua kerja rumah. Membasuh berak kencing anak-anak kami ketika mereka masih kecil, memasak dan melipat kain.

“Pernah ibu menangis bila melihat saya buat semua kerja rumah tetapi saya jelaskan kepadanya yang saya dengan ikhlas buat semua itu demi kebahagiaan rumah tangga saya, sedangkan kata ibu…,itu semua tanggungjawab isteri saya, Shira.

“Ibu sedih sebab Shira yang keluar mencari rezeki, sedangkan saya duduk di rumah mengambil alih tanggungjawabnya sebagai isteri. Biarpun saya telah jelaskan dengan baik kepada ibu, tetapi saya gagal menyakinkan ibu tentang niat baik saya.

“Akhirnya ibu merajuk dan tidak lagi mahu berkunjung ke rumah saya dan saya tidak lagi dapat bermanja dengan ibu. Jika saya sekeluarga balik ke rumah ibu, satu keluarga tidak melayan kami. Shira dan anak-anak tersinggung. Akhirnya, saya buat keputusan tidak balik ke rumah lagi.

“Tapi saya tidak kesal dengan apa yang saya lalui sebab saya tahu, satu hari nanti ibu dan keluarga saya akan faham dan menerima kami semula. Setiap hari, saya berdoa dan tidak pernah putus asa.

“Shira juga sama seperti saya. Dia tidak kecil hati dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ini sebagai ujian Allah untuk kami. Pernah juga dia mencadangkan saya berniaga tetapi saya menolak kerana saya tahu saya tidak dapat melakukannya sebab tidak ada pengalaman bisnes.

“Saya selesa dengan apa yang saya buat sekarang. Tambahan pula Shira ada membeli kebun berhampiran bandar tempat tinggal kami. Hujung minggu, kami sekeluarga ke sana untuk berehat. Saya bercucuk tanam di situ untuk memenuhi masa lapang.

“Saya gembira kerana selain buat kerja rumah, saya ada tugas lain yang boleh menambah rezeki kami sekeluarga. Saya juga berharap satu hari nanti, keluarga saya akan membuka mata dengan kehidupan saya ini.

“Walaupun sedih kerana keluarga tidak dapat menerima cara hidup saya yang luar biasa ini, saya yakin satu hari nanti, mereka akan menerima saya, Shira dan anak-anak kami. Saya akan tunggu saat itu tiba.

“Biarlah buat sementara ini, saya ikut keadaan. Lambat laun masanya akan tiba. Saya yakin dengan perancangan Allah. Saya harap saya boleh terus bersabar dengan apa yang berlaku.

“Di sebalik jiwa saya yang kacau ini, saya tidak pernah putus asa untuk memujuk ibu. Saya berdoa agar sekeras mana pun hati seorang ibu, satu hari dia akan lembut juga.

“Biarlah apa orang nak kata tentang rumah tangga saya, saya reda dengan segalanya. Saya bahagia dengan cara saya. Saya tahu pada masa ini, ramai suami yang tidak bekerja dan tinggal di rumah menjaga aak-anak dan mengurus rumah tangga.

“Bukan jadi satu kesalahan pun dengan keadaan itu tetapi biasalah masyarakat kita, kepoh dan semua tidak manis di mata. Kalau kita sudah reda, orang lain peduli apa?

“Apa yang saya kongsi dengan anda adalah pengalaman saya. Tidak semua apa yang kita inginkan dapat kita peroleh. Ada yang dapat, ada yang tidak.

“Ada juga ketikanya Allah uji dengan ujian untuk melihat kesabaran kita seperti mana yang saya lalui.

“Saya harap saya akan mendapat kebahagiaan itu dalam masa terdekat. Itulah doa dan harapan saya,” Fazil menamatkan ceritanya.

Menarik bukan cerita Fazil? Ini antara satu dalam 1,000 cerita yang ada dalam masyarakat kita. Saya gembira kerana Fazil seorang lelaki yang tegas dan berkeyakinan serta anak yang soleh.

Saya juga kagum dengan keikhlasan Shira sebagai isteri, tidak lupa janji kepada suaminya dan sentiasa berada di sisi suami untuk mempertahankan rumah tangga mereka. Inilah sikap yang harus ada pada pasangan suami isteri yang inginkan bahagia hingga ke jannah.

Saya mendoakan hajat Fazil dan Shira untuk diterima oleh ibu bapa dan keluarga akan dimakbulkan. Kita harus faham hati seorang ibu dan berusaha untuk memenangi hatinya semula dengan apa cara sekalipun.

Menutup kata, pesanan saya, kesulitan tidak selamanya akan menyusahkan tetapi akan berubah menjadi senang dan menggembirakan apabila tiba masanya dengan izin Allah jua.

Sumber : Hensemedia




0 comments:

Post a Comment